Tepikan persepsi negatif politik berkaitan pandemik

Tepikan persepsi negatif politik berkaitan pandemik

Kota Kinabalu: Pemimpin politik di negeri ini diseru untuk bersatu hati dalam mendepani pandemik Covid-19.

Pandangan itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan ( gambar) yang menyarankan supaya kecenderungan persepsi negatif segelintir pemimpin politik di negeri ini terhadap isu semasa berkaitan pandemik, perlu dibendung.

Jelasnya, tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 baru-baru ini perlu disokong dengan semangat luar daripada kepartian demi kemakmuran negeri.

“Tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk memperkecilkan dan menidakkan tindakan yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat negeri Sabah.

” Negeri ini mencatatkan penurunan kes covid yang konsisten, ia menunjukkan segala tindak-tanduk Kerajaan Negeri Sabah berjaya mendatangkan hasil, maka dengan itu segala keputusan yang diambil kira pastinya sudah diperhalusi dengan rapi sekali.

” Segala persepsi negatif yang dimainkan oleh sesetengah pemimpin politik negeri seharusnya dibendung kerana ini boleh membawa kepada kecelaruan dan perpecahan di kalangan rakyat,” katanya.

Khairul Firdaus berkata demikian dalam satu kenyataan medianya pada hari ini.

” Sifat keterbukaan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor seharusnya diambil secara positif, demi memastikan segala keputusan demi rakyat Sabah dapat dipertahankan dan bukannya dipolitikkan.

“Bersatu Sabah cukup yakin dengan pentadbiran yang d pelopori oleh pemimpin-pemimpin yang berpengalaman, pastinya dapat mendepani pandemik Covid-19 ini dengan jayanya,” katanya.

-Deasoka


 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|