Majlis pengebumian cetus Kluster Limbawang,Beaufort

Majlis pengebumian cetus Kluster Limbawang,Beaufort

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatatkan satu kluster baharu iaitu Kluster Limbawang, Beaufort, membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti daripada satu majlis pengebumian di Kampung Gelilia, Padas Damit, pada 20 Jun lalu.

Jurucakap harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun daripada Kampung Kelabu yang disahkan positif selepas menjalani ujian RTK-Ag di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun selepas mengalami gejala demam sejak 19 Jun.

”Selepas itu, saringan kontak rapat masing-masing mendapati empat kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu majlis terbabit.

”Terdapat bukti penularan menerusi kontak sosial yang membabitkan ahli keluarga di empat lokaliti berbeza sekitar mukim Limbawang dan daripada 160 kontak yang disaring, seramai 21 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 30,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, sebanyak 242 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 69,445 kes.

Katanya, tiga lagi kematian turut dicatatkan iaitu membabitkan dua pesakit di Kota Belud dan seorang pesakit di Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|