Isu SOP Sabah, sokong Ketua Menteri usaha martabat autonomi

Isu SOP Sabah, sokong Ketua Menteri usaha martabat autonomi

Kota Kinabalu: Sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah yang menekankan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini dilihat amat wajar, dalam usaha memartabatkan autonomi negeri ini.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg (gambar) berkata, interprasi orang ramai itu adalah mereka yang memahami keadaan sebenar di negeri ini selepas mengambil kira faktor seperti ekonomi dan persekitaran.

“Kita juga yakin bahawa hanya mereka berada dalam bumi Sabah yang lebih memahami permasalah dan kaedah penyelesaian masalah berkenaan.

“Tambahan pula, perbezaan faktor pencapaian dari segi ekonomi dan corak hidup di antara Sabah dan Semenanjung turut boleh dianggap sebagai penyumbang kepada keperluan penggunaan pendekatan sop yang sedikit berbeza.

“Sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah ini boleh juga diinterpretasikan sebagai petanda wujudnya dinamika politik baharu kepada kerajaan GRS,” katanya ketika dihubungi Deasoka, sebentar tadi.

Terdahulu, sejak semalam, timbul isu mengelirukan di antara Kerajaan Negeri dan Pusat susulan pengumuman Hajiji yang memberi pendekatan kelonggaran kepada aktiviti ekonomi dan sosial pada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di Sabah.

Antara yang tular dan kecoh adalah isu dine in di restoran atau kedai makanan dengan beberapa peniaga seperti di Kota Kinabalu dan Penampang mendakwa telah dinasihatkan pihak berkuasa supaya menunggu keperincian SOP dikeluarkan terlebih dahulu.

Sementara itu, Romzi dalam masa sama turut menyentuh peranan Kerajaan Pusat atau Persekutuan dengan negeri yang perlu mencapai kesepakatan dalam hal penentuan SOP ini.

“Persetujuan tentang autonomi kerajaan negeri dalam pelbagai aspek seperti imigresen,urustadbir tanah dan sebagainya turut didasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memorandum 20 perkara.

“Dalam erti kata yang lain, Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab menjalankan tanggungjawab memartabatkan hak asas penduduk Sabah, khususnya dalam aspek tuntutan hak autonomi urustadbir negeri atau wilayah.

“Ini termasuklah menghormati pandangan dan pendekatan kerajaan negeri menangani isu pandemik,” katanya.

Jelas beliau lagi, keengganan kerajaan persekutuan menyegerakan kelulusan pendekatan SOP baru ini menjadi gambaran keengganan kerajaan persekutuan mengakui hakikat bahawa Sabah mempunyai hak memilih pendekatan urustadbir sendiri.

“Dalam masa yang sama, senario tersebut turut menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa pemimpin di peringkat Persekutuan lebih fokus kepada penambahbaikan imej Kerajaan Persekutuan supaya potensi pengekalan kuasa lebih baik.

“Tetapi mereka mungkin lupa bahawa imej Kerajaan Negeri juga wajar dijaga untuk tujuan yang sama.

“Disebalik isu ini, kita berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat mencari jalan penyelesaian yang lebih berhemah utk kepentingan bersama,” katanya.

Tegas Romzi lagi, kegagalan berbuat demikian hanyalah merugikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|