Tenom sasar 80 peratus penduduk lengkap vaksin pada Oktober

Tenom sasar 80 peratus penduduk lengkap vaksin pada Oktober

Tenom: Kadar vaksinasi Covid-19 penduduk di daerah ini sudah mencapai 70 peratus dan disasar mampu ditingkatkan ke tahap 80 peratus pada bulan depan.

Pegawai Daerah Tenom, Masazwan Masood, berkata Pusat Kawalan Bencana (PKOB) Daerah akan terus memperkasa program vaksinasi dengan strategi ‘mopping up’ bagi mencapai sasaran berkenaan.

Jururawat, Patricia James dan Rositah Jaintang membawa vaksin Sinovac menyeberangi sungai deras menaiki jambatan gantung lebih 200 meter ketika program jangkauan luar CITF di Kampung Pangi, Tenom. Gambar ihsan Jabatan Penerangan

“Setakat hari ini, kita berjaya mencapai 70 peratus penduduk yang divaksinasi dan bakinya dijangka akan diselesaikan menjelang Oktober depan.

“Tenom adalah antara daerah yang terawal membuat program jangkauan luar ke kampung-kampung sejak Mei lalu dan purata penerima vaksin mencecah 1,600 orang sehari.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kita sekarang dilihat lengang dan kurang pengunjung kerana hampir semua penduduk di kawasan pekan sudah divaksinasi.

“Strategi mopping up ini lebih kepada usaha mencari saki-baki penduduk yang belum divaksin di kawasan-kawasan yang terpencil,” katanya pada program Jangkauan Luar Vaksinasi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Kampung Pangi, di sini, semalam.

Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Siti Norhaimi Osli menyumbang peralatan sanitasi Covid-19 dan makanan ringan kepada petugas KKM di Tenom. Gambar ihsan Jabatan Penerangan.

Masazwan yang juga Timbalan Pengerusi PKOB Daerah Tenom, berkata selain lima PPV di seluruh daerah, pihaknya juga memperhebat program jangkauan luar CITF setiap hari.

“Lima PPV yang beroperasi di Temom dan Kemabong ialah di Dewan Antenom, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Tenom, Klinik Kesihatan Kemabong, Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Hospital Daerah Tenom.

“Di samping itu, kita juga mendapat kerjasama daripada dua klinik swasta yang menyediakan vaksinasi kepada penduduk.

“Ini tidak termasuk program jangkauan luar CITF di kampung-kampung dengan purata dua lokasi setiap hari yang kita namakan sebagai ‘mopping up’,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Tenom, Dr Francesca Primus Chew, berkata seramai 15 penduduk di Kampung Pangi diberikan dos pertama vaksin jenis Sinovac termasuk dua warga emas yang terlantar ketika program CITF di kampung itu.

“Dalam ‘mopping-up’ jumlah vaksinasi memang sedikit kerana kita berusaha mengesan masyarakat yang belum menerima vaksin di kawasan yang jauh di pedalaman.

“Pada hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan 18 petugas termasuk sukarelawan MyVac seawal jam 7.30 pagi bersama-sama anggota RELA dan APM menaiki keretapi dari Pekan Tenom.

“Dalam program ini, petugas menyusuri denai, melalui tiga jambatan gantung yang menyeberangi sungai deras untuk ke rumah salah seorang penerima vaksin,” katanya.

Warga emas, Niuh Managang, 93, dan Monan Binguengun, 80, adalah antara penerima vaksin dos pertama yang diberi suntikan terus di rumah masing-masing.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Siti Norhaimi Osli yang menyumbang peralatan sanitasi Covid-19 dan makanan ringan kepada petugas KKM.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|