Sky Bridge dibuka 9 September ini

Sky Bridge dibuka 9 September ini

Kota Kinabalu: Projek ‘Sky Bridge’ yang tertangguh sejak lebih tiga tahun lalu selesai dengan campur tangan kerajaan negeri dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Laluan untuk pejalan kaki yang menghubungkan beberapa pusat beli belah dan premis perniagaan itu akhirnya dirasmikan dalam satu majlis ringkas, hari ini.

Difahamkan, projek yang bernilai RM31.5 juta itu sebelum ini tertangguh berikutan kemuflisan pemaju projek berkenaan pada tahun 2018.

Hajiji berkata, penyelesaian projek itu menunjukkan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah adalah kerajaan yang proaktif dan prihatin.

Katanya, pembukaan laluan pejalan kaki itu akan memberi manfaat kepada orang ramai dari segi kemudahan dan keselamatan.

“Saya berasa begitu gembira sekali dan yakin warga Kota Kinabalu juga gembira kerana Skybridge yang ditunggu-tunggu ini sudah siap dan boleh dilalui dalam masa beberapa hari lagi.

“Sky Bridge ini memang amat penting untuk menghubungi beberapa tempat di kawasan ini. Saya difahamkan sebelum ini beberapa kejadian kemalangan pernah berlaku di sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kemudahan itu, hari ini.

Hajiji merasmikan kemudahan Sky Bridge yang akan dibuka kepada orang ramai 9 September depan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip.

Hajiji berkata, dengan siapnya pembinaan Sky Bridge itu, ia juga diharap dapat mengurangkan kemalangan dan juga perkara perkara yang tidak diingini berlaku di sini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membuat kemudahan sama di lokasi lain, Hajiji berkata, ia terpulang kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membuat perancangan dan cadangan keperluan di bandaraya ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|