Covid-19 Sabah: Kes baharu meningkat 75

Covid-19 Sabah: Kes baharu meningkat 75

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah meningkat lagi sebanyak 75 kes kepada 2,404 kes hari ini berbanding 2,329 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata lebih separuh daripada jumlah kes hari ini adalah kes lewat didaftarkan antara dua hari hingga lebih lima hari.

Katanya, paling banyak iaitu 983 kes atau 40.9 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari.

“Sebanyak 127 kes atau 5.3 peratus lagi lewat didaftar antara empat hingga lima hari, manakala 261 kes atau 10.9 peratus didaftar lewat melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang utama keseluruhan dengan 1,393 kes atau 57.9 peratus.

Katanya, saringan bergejala juga kekal penyumbang kedua terbanyak iaitu 755 kes (31.4 peratus), manakala baki sebanyak 65 kes dikesan melalui kluster sedia ada.

“Sebanyak 2,174 kes daripada 2,404 kes hari ini adalah terdiri daripada warga negara, manakala seramai 230 orang adalah warga asing.

“Seramai 1,546 orang pula terdiri daripada pesakit dalam kategori dua, diikuti 719 orang dalam kategori satu, seramai 14 orang dalam kategori tiga, tujuh orang dalam kategori empat dan 11 orang dalam kategori lima,” katanya.

Hari ini juga menyaksikan seramai 27 orang pesakit baharu Covid-19 adalah bayi berumur bawah setahun, seramai 183 orang kanak-kanak berumur antara setahun hingga lima tahun dan seramai 455 orang adalah individu berumur antara enam hingga 17 tahun.

Dalam pada itu, Masidi berkata setakat semalam 41.5 peratus penduduk dewasa Sabah sudah melengkapkan pengambilan vaksin, manakala 60.5 peratus sudah memperolehi sekurang-kurangnya satu dos.

Kes mengikut daerah – 3 September (dalam kurungan kes semalam)

Sabah 2,404 (2,329)

Kota Kinabalu 387 (458)
Sandakan 256 (281)
Penampang 173 (181)
Papar 167 (168)
Tuaran 232 (149)
Tawau 164 (127)
Keningau 100 (115)
Kota Marudu 91 (106)
Kota Belud 63 (82)
Lahad Datu 110 (71)
Ranau 76 (68)
Pitas 66 (67)
Putatan 130 (67)
Kinabatangan 42 (58)
Kudat 34 (44)
Beaufort 24 (43)
Kunak 21 (42)
Sipitang 45 (41)
Beluran 16 (34)
Tenom 50 (34)
Tongod 21 (27)
Nabawan 18 (26)
Semporna 11 (10)
Kuala Penyu 6 (9)
Telupid 82 (8)
Tambunan 6 (7)
Kalabakan 13 (6)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|