Kerajaan Negeri terima RM20 juta daripada Sawit Kinabalu untuk dividen dan Tabung Covid-19

Kerajaan Negeri terima RM20 juta daripada Sawit Kinabalu untuk dividen dan Tabung Covid-19

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menerima RM20 juta daripada Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai pembayaran dividen dan sumbangan untuk Tabung COVID-19, hari ini.

Daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta adalah untuk pembayaran interim dividen bagi suku pertama dan kedua tahun 2021 manakala RM10 juta lagi untuk Tabung COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu menerima replika cek tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie dalam satu majlis penyerahan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (PPNS), Kota Kinabalu.

Hajiji dalam pada itu berkata, walaupun berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, Sawit Kinabalu terus menunjukkan prestasi cemerlang kerana mampu membayar dividen dan membantu untuk Tabung COVID-19. Saya berasa gembira dengan pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu.

“Pembayaran ini jelas memenuhi aspirasi kerajaan negeri bahawa syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) hendaklah cekap dan membawa keuntungan.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong industri sawit sebagai salah satu daripada sektor ekonomi kerana ia sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pertanian sebagai satu daripada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri ini selain perindustrian dan pelancongan.

“Ini juga satu bukti yang jelas betapa kerajaan mengambil serius mengenai pembangunan ekonomi negeri untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” katanya.

Sehingga kini, Kumpulan Sawit Kinabalu sebuah jentera pelaburan kerajaan negeri Sabah telah membayar dividen sebanyak RM1.2 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun yang lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|