Pengarah kumpulan agensi insurans tidak mengaku bersalah mencabul

Pengarah kumpulan agensi insurans tidak mengaku bersalah mencabul

Kota Kinabalu: Seorang pengarah kumpulan sebuah agensi insurans dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan salah seorang ejennya.

Tertuduh Zulkarnain Abdul Ghani, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Stephanie Dunstan.

Zulkarnain (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu, hari ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Zulkarnain didakwa mencabul seorang wanita berusia 23 tahun di dalam kereta Ford Ranger yang berlaku pada Februari 2019, di Jalan Coastal, di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada November 2018 di dalam sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa, di Jalan Lintas, di sini.

Akibat daripada dua insiden berkenaan, mangsa dikatakan tertekan dan bertindak berhenti bekerja dengan tertuduh pada Jun 2019.

Mangsa dikatakan masih trauma dan sukar melupakan kejadian yang menimpanya sebelum nekad membuat laporan polis pada Mac tahun ini.

Difahamkan, sehingga kini mangsa masih menjalani rawatan di Bahagian Psiakatri dan Kesihatan Mental, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) di sini, kerana berada dalam keadaan ‘Post Traumatic Stress Disorder’.

Sementara itu, Majistret Stephanie menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Oktober depan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dijalankan pegawai pendakwa Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit Suzie manakala tertuduh diwakili oleh peguam Ram Singh Harbans & Co.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|