Aktiviti rekreasi kembali aktif di Labuan

Aktiviti rekreasi kembali aktif di Labuan

Labuan: Aktiviti rekreasi di Labuan kembali aktif selepas pulau itu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 26 Ogos lalu.

Ia termasuk rekreasi berkumpulan seperti program berbasikal Kayuhan Santai Merdeka anjuran Pusat Koreksional Labuan (PKL) 2021 sempena sambutan Hari Kebangsaan, baru-baru ini.

Program itu disertai 30 kakitangan pusat berkenaan sebagai sebahagian program sambutan Hari Kebangsaan, selain mengaktifkan semula aktiviti rekreasi untuk kesihatan.

Pengarah PKL, Penolong Komisioner Penjara (PKP), Kalbin Mohd Said, berkata aktiviti rekreasi itu penting untuk mengekalkan tahap kecergasan pegawai dan anggota pusat berkenaan.

Aktiviti rekreasi beramai-ramai itu juga katanya, dapat mengembalikan suasana kemeriahan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga PKL.

“Kita berharap menerusi Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 ini akan menjalinkan hubungan yang lebih baik dan erat dalam kalangan warga PKL, termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.

Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 itu dianjurkan Biro Sukan Labuan Prison Cycling Club dengan disertai 30 kakitangan dan ahli keluarga yang diketuai penyelaras program, SM Enjis Lakum.

Kayuhan sejauh 40 kilometer itu turut disertai kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Mohd Mazlan Ahmad dan kakitangan Tricor Trustco (Labuan) Ltd, Mohd Zaidi Diding.

Labuan beralih ke Fasa Empat PPN sejak 26 Ogos lalu sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti penduduk dibenarkan beroperasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|