Jalan Keningau-Tambunan terputus akibat mendap

Jalan Keningau-Tambunan terputus akibat mendap

Kota Kinabalu: Jalan utama menghubungkan daerah Keningau dan Tambunan terputus selepas jalan berkenaan mendap dan runtuh.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan pembaca di laman sosial facebook sejak pagi tadi, memaparkan jalan berkenaan tidak lagi boleh dilalui sebarang kenderaan.

Keretakan jalan berkenaan dipercayai berlaku akibat tanah mengelongsor akibat cuaca hujan lebat berterusan semalam.

Jalan yang menghubungkan daerah Keningau dan Tambunan dilaporkan terputus akibat mendapan dan runtuhan. Gambar ihsan Jirin Mansoor.

Bagaimanapun difahamkan, pengguna jalan boleh menggunakan jalan alternatif menerusi Jalan Bunga Raya untuk ke Jalan Liau Darat.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, beliau akan menghubungi Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara itu.

Katanya, beliau akan meminta JKR untuk membaiki jalan berkenaan secepat mungkin untuk kemudahan pengguna jalan di kawasan berkenaan.

“Saya akan berhubung dengan pengarah JKR untuk ambil tindakan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|