Tanggungjawab besar lahirkan barisan pelapis kepada Sabah FC – Jamawi

Tanggungjawab besar lahirkan barisan pelapis kepada Sabah FC – Jamawi

Kota Kinabalu: Memberi fokus untuk menerapkan pemain terbaik bagi menyediakan barisan pelapis untuk skuad Piala Belia Sabah FC.

Itu antara tanggungjawab yang bakal digalas Pengurus Pasukan Bawah 19, Sabah FC yang baru dilantik, Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, usaha ini sekaligus akan dapat membentuk satu pasukan terbaik untuk diserapkan sebagai pemain Bawah 22 serta skuad senior Sabah FC pada musim akan datang.

Katanya, ini adalah langkah pertama yang akan dilakukan dalam usaha untuk memperkuatkan pasukan Sabah FC.

“Saya akan memantau dan terus melihat perkembangan pemilihan ini supaya kita akan dapat satu pasukan pemain yang boleh diketengahkan.

“Kita sudah selesai pertandingan Bawah 18 Tahun Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ini dilihat sebagai platform untuk memilih pemain mewakili skuad Sabah FC Bawah 19 Tahun kelak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jamawi berkata, pemilihan latihan pusat ini akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu pada 20 hingga 22 Disember dan 27 hingga 29 Disember depan.

Sementara itu, Jamawi berkata, tanggungjawab yang digalas begitu besar dalam usaha menyediakan skuad pelapis kepada pasukan Sabah FC.

Oleh itu katanya, kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi menjayakan matlamat ini.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akhbar.

“Ia atas kepercayaan yang diberikan dengan melantik saya sebagai Pengurus pasukan Piala Belia Bawah 19 Tahun untuk musim 2022,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|