Kegigihan Maximus pastikan tuntutan Sabah Sarawak didengar – Christoper Mandut

Kegigihan Maximus pastikan tuntutan Sabah Sarawak didengar – Christoper Mandut

Kota Kinabalu: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat Selasa lalu adalah hasil usaha tanpa henti Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bagi mendapatkan hak mutlak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut turut menyifatkan sifat Ongkili yang sentiasa komited untuk ‘menyelesaikan apa yang dimulakannya’ sebagai pemacu utama memastikan tuntutan dan hak rakyat Sabah serta Sarawak dipulihkan dan dihormati.

“Beliau adalah seorang yang sangat gigih dan selepas hampir dua tahun mengetuai portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau mengendalikan isu-isu berkaitan MA63, sama ada secara langsung ataupun tidak.

“Berbekalkan pengalaman luas sebagai menteri persekutuan dan kerjasama serta hubungan baik dengan rakan dalam Kabinet (persekutuan), beliau menyuarakan pandangan dan isu yang amat dekat di hati kita di Sabah dan Sarawak, termasuklah kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Christoper juga mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas usaha beliau dalam memastikan RUU itu diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada Selasa.

“Saya percaya ini adalah permulaan kepada banyak perkara baik yang akan datang. Kelulusan RUU ini sememangnya satu pengiktirafan terhadap hak dan tuntutan khas Sabah dan Sarawak apabila ia membentuk Malaysia bersama Malaya 58 tahun lalu,” katanya.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan menyaksikan MA63 diletakkan pada kedudukan yang sama dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan 1957 kerana ia memperincikan peringkat pembentukan dan hala tuju Malaysia daripada Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan arahan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya 1957 apabila Perlembagaan Persekutuan diterima pakai pada 1957.

Wan Junaidi dalam kenyataannya, berkata pindaan itu bermakna meletakkan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi Malaysia sebenar dalam konteks tiga perjanjian – Perjanjian Persekutuan 1948, Perjanjian Persekutuan 1957, dan MA63, sekaligus memberikan maruah kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|