Papar: Pasukan bomba menyelamatkan seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan raya dipercayai cuba membunuh diri dalam kejadian di Kampung Beringgis, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 40-an berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berjaya ditenangkan oleh pasukan bomba bersama keluarga.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari.
-Deasoka