Tandas awam pun tiada di Segama – Mohamaddin Ketapi

Tandas awam pun tiada di Segama – Mohamaddin Ketapi

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata DUN Segama yang diwakilinya masih jauh ketinggalan, malah tidak mempunyai tandas awam.

Beliau berkata, ia antara sebab beliau membuat keputusan keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, jika terus menjadi pembangkang, beliau tidak berupaya membawa kemajuan di kawasan berkenaan sedangkan sudah berjanji kepada rakyat dan penyokongnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) tahun lalu.

Jelasnya, beliau berdepan kesukaran menjawab pertanyaan penyokong mengenai usaha untuk membangunkan Lahad Datu, khususnya Segama memandangkan ia adalah kawasan baharu selagi masih dalam pembangkang.

“DUN Segama menjadi penyumbang terbesar dari segi hasil ekonomi di Lahad Datu kerana mempunyai kawasan ladang kelapa sawit yang luas dan banyak kilang sawit tetapi tandas awam pun tiada di Segama.

“Jadi, kalau saya terus menjadi wakil rakyat pembangkang, selama empat tahun lagi sebelum pilihan raya negeri akan datang, saya tidak dapat bawa apa-apa kemajuan di Segama khususnya.

“Berikutan itu, hari ini saya isytiharkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan negeri Sabah, manakala di Dewan Rakyat saya mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas sepenuhnya.

“Namun, sekiranya satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan persekutuan di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau adalah pemimpin kedua WARISAN meninggalkan parti itu dalam bulan ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

Berikutan tindakan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, WARISAN sehingga kini kehilangan tiga wakil rakyat termasuk ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar pada Februari lalu.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, beliau juga memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas sepenuhnya di Dewan Rakyat tetapi sedia menyokong undi kerajaan jika memerlukan sokongan wakil rakyat Bebas dalam soal membuat keputusan.

Katanya, keputusan keluar parti dibuat demi usaha dan tumpuannya untuk membawa pembangunan di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu.

Ditanya mengenai tindakan WARISAN selapas ini, Mohamaddin berkata beliau sudah bersedia untuk berdepan apa saja termasuk tindakan undang-undang daripada parti itu.

Katanya, beliau juga sudah menyiapkan surat peletakan dalam parti untuk diserahkan pada bila-bila masa selepas pengumuman keluar WARISAN.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan parti itu mengenai kononnya berlaku ‘pembelian’ wakil rakyat supaya meninggaljan WARISAN.

“Saya tidak percaya beli membeli wakil rakyat kerana saya tidak dibeli. Saya isytihar keluar parti bukan kerana dibeli. Saya kata tadi DUN segama kasihan, tiada apa-apa pembangunan, malah tandas awam pun tiada,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|