Pertubuhan Peladang Negeri sambut baik Bajet 2022 untuk golongan tani

Pertubuhan Peladang Negeri sambut baik Bajet 2022 untuk golongan tani

Kota Kinabalu: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik Bajet 2022 kerajaan persekutuan bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah bajet prihatin bagi membantu pemulihan ekonomi rakyat dan negara termasuk golongan tani.

Katanya, lebih menggembirakan golongan peladang apabila Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima peruntukan yang lebih besar pada tahun depan berbanding bajet tahun ini.

“MAFI diperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion di bawah Bajet 2022. Peruntukan ini termasuk bagi perbelanjaan mengurus sebanyak RM3.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.54 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Bajet 2022 menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Nazri turut memberikan perhargaan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee atas kebijaksanaan dan keprihatinan beliau berunding dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sehingga MAFI mendapat peruntukan yang begitu besar untuk membela peladang, penternak dan nelayan di negara ini.

“Kami juga menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk pemberian perlindungan takaful kepada semua ahli peladang PPK seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Sudah tentu ini akan memberi faedah langsung kepada ahli-ahli peladang termasuk di Sabah,” katanya.

Nazri berkata, PPNS juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk terus memacu pemodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur.

Katanya, komitmen kerajaan persekutuan untuk terus memberi pelbagai subsidi kepada petani dan peladang akan membantu meringankan beban mereka selain membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.

Bajet 2022 mencadangkan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan dengan sebanyak RM1.7 bilion, antaranya RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta, manakala insentif hasil tangkapan nelayan turut disediakan berjumlah RM150 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|