Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan persekutuan dala menganjurkan Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Sesi roadshow berkenaan diadakan bertujuan membuat hebahan mengenai dasar, strategi dan inisiatif rancangan itu kepada semua pihak berkepentingan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini bagi memastikan pemegang taruh atau amanah di peringkat negeri mendapat maklumat terperinci dan penjelasan lebih tepat mengenai RMK-12.
Katanya, ia bertepatan dengan objektif RMK-12 iaitu ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.
“Saya berpendapat bahawa sesi roadshow seperti ini adalah satu pendekatan yang terbaik dan tepat pada masanya.
“Ia penting bagi memastikan pihak yang berkaitan bersama memainkan peranan dan tanggungjawab dalam merealisasikan pelaksanaan semua program serta projek pembangunan yang telah dirancang dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bersama Kerajaan Negeri, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya supaya program pembangunan RMK12 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, dalam pembentangan RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob 27 September lalu, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan perhatian utama dan fokus pembangunan yang lebih besar kepada Sabah dalam pelbagai sektor.
“Ini meliputi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, pendigitalan, jalur lebar, pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan wilayah serta bandar sempadan.
“Selain itu, ia juga bagi memperkasa agenda Anak Negeri dan Bumiputera serta menyelesaikan isu-isu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri berdepan beberapa isu dan cabaran sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan-Rancangan Malaysia yang sebelumnya.
Katanya, antaranya adalah kekurangan prasarana dan infrastruktur asas, ketidakseimbangan pembangunan, kolaborasi dan penyampaian perkhidmatan awam yang kurang cekap dan berkesan.
“Dengan mengambil kira isu dan cabaran itu, kerajaan negeri menyokong penuh langkah kerajaan persekutuan yang menggariskan lima bidang keutamaan dalam Pemacu Perubahan Ketujuh, ‘Memperkukuh Pembangunan Sosioekonomi di Sabah dan Sarawak’.
“Antara bidang keutamaan berkenaan ialah untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
“Oleh itu, saya mahu kementerian, jabatan dan agensi negeri memberikan tumpuan kepada lima bidang keutamaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, beliau percaya dengan komitmen, koordinasi dan kerjasama yang padu, pembangunan negeri dalam pelbagai sektor dapat dipacu ke tahap yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
Hajiji berkata, kerajaan negeri dan rakyat Sabah berharap kerajaan persekutuan akan terus menyokong dan memberi perhatian kepada kemajuan negeri ini secara inklusif.
“Ini termasuklah pemberian peruntukan yang lebih besar pada pada masa hadapan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat negeri inii,” katanya.
-Deasoka