Tindakan Mohamaddin sudah dijangka – Azhar Matussin

Tindakan Mohamaddin sudah dijangka – Azhar Matussin

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (WARISAN) sudah menjangka tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi keluar daripada parti itu hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Azhar Matussin, berkata Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama sudah mahu keluar WARISAN sejak beberapa hari lalu.

“Bukannya mudah untuk menjadi wakil rakyat yang jujur dan setia kepada mandat rakyat sekali gus mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa Sabah.

“Memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah tidak wajar diterima oleh semua pihak.

“Mohamaddin lari daripada perjuangan meninggalkan rakan-rakan seperjuangan. Sekarang beliau bersekongkol dengan pihak yang dulu dikatakan tidak baik tetapi rakyat tahu menilai bila tiba masanya nanti.

“Apapun kita ucapkan selamat naju jaya kepada Datuk Mohamaddin Ketapi. Kami yang masih dalam WARISAN tetap akan bersama-sama kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Mohamaddin yang mengumumkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat bebas pagi tadi.

Mohamaddin, 64, berkata beliau bertindak keluar parti bagi memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama, yang didakwanya tiada kemajuan.

Azhar yang juga ADUN Darau berkata, setakat ini beliau yakin rakan ADUN lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka.

“Tidak perlu lompat parti untuk fokus berkhidmat di kawasan diwakili kerana kerajaan sedia ada akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan di kawasan diwakili,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|