Tanah runtuh, dua individu termasuk kanak-kanak perempuan ditemukan maut

Tanah runtuh, dua individu termasuk kanak-kanak perempuan ditemukan maut

Penampang: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam tragedi tanah runtuh di Forest Hill, Penampang, petang tadi.

Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Salmah Hamid, 25, dan Rosatima Asbirin, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Keadaan tanah runtuh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, selain dua mayat mangsa yang ditemukan, empat kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu.

“Berdasarkan maklumat awal, insiden ini melibatkan kejadian tanah runtuh dengan terdapat dua mangsa dengan salah seorangnya adalah kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia.

“Empat lagi kanak-kanak termasuk bayi berusia lapan bulan terselamat dalam insiden itu,” katanya.

Menurut jurucakap tersebut, bomba menerima panggilan insiden itu sekitar jam 3.57 petang sebelum sepasukan bomba dari Penampang dan Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|