Tanah mendap di tengah jalan raya

Tanah mendap di tengah jalan raya

Kota Kinabalu: Laluan di Jalan Teluk Likas, di sini ditutup sementara kepada pengguna jalan raya susulan terdapat mendapan hingga mengakibatkan lubang atau sinkhole di jalan berkenaan.

Kejadian disedari pengguna yang melihat jalan berlubang kira-kira tengah hari tadi dan terkejut apabila mendapati berlaku mendapan tanah.

Kejadian mendapan hingga terbentuk lubang berjaya dirakam pemilik salah sebuah rumah di kawasn berhampiran melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) miliknya.

Menerusi rakaman CCTV terbabit, kelihatan seorang penghantar makanan Food Panda juga hampir terjunam ke dalam lubang besar berkenaan namun sempat memberhentikan motosikal ditungganginya sebelum terjatuh ke bahu jalan.

Salah seorang pengguna jalan raya, Masri Zainal, 25, berkata, dia berada di jalan terbabit kerena mahu menghala ke Kota Kinabalu dari Likas.

“Jalan ketika itu tiba-tiba sedikit sesak dan nampak ada satu motosikal berada di tepi jalan.

“Rupanya ada pennghantar makanan Foodpanda kemalangan. Ramai pengguna ketika itu beranggapan ada berlaku kemalangan tetapi bila semakin dekat saya terkejut apabila melihat ada lubang besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi pemandu, Alvin Tan, 32, menyatakan dia dalam perjalanan dari Teluk Likas ke Likas Jaya ketika melalui jalan terbabit.

Kejadian mendapan tanah yang berlaku di Jalan Teluk Likas tengah hari tadi.

“Saya lihat ada beberapa kereta berhenti di tepi jalan sebelum turut sama menghentikan kenderaan dan melihat ada lubang besar.

“Saya berharap jalan rosak ini dapat diperbaiki dengan cepat kerana ia boleh membahayakan penggunakan jalan raya yang melalui jalan ini khususnya ketika waktu malam dan hari hujan.

“Selain itu, ia juga boleh menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas kerana ramai dalam kalangan orang awam sudah memulakan semula aktiviti harian seperti keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Kita sudah mengambil tindakan segera mengenai kejadian ini dan syarikat konsesi Globinaco juga sudah diarahkan untuk meninjau keadaan di lokasi kejadian.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Pembentongan Sabah kerana lubang yang ada di kawasan itu adalah berikutan membabitkan aset pembentungan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|