Kerjasama GRS perlu telus dan ikhlas – Raimie

Kerjasama GRS perlu telus dan ikhlas – Raimie

Kota Kinabalu: UMNO Sabah mengingatkan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus bersikap telus dan ikhlas menjalin kerjasama menerusi gabungan berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi, berkata GRS perlu didaftarkan secara sah dan dibentuk selaras hasrat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 serta memenuhi aspirasi rakyat. Kepimpinan GRS perlu benar-benar mengamalkan dua sikap berkenaan memandangkan landskap politik ketika ini masih tidak stabil.

Katanya, UMNO Sabah tidak mahu kerjasama dalam gabungan berkenaan hanya baik di meja rundingan tetapi berlaku perkara sebaliknya apabila tiba pilihan raya umum (PRU).

“Justeru pakatan parti dalam GRS harus dilihat telus dan ikhlas dalam kerjasama muafakat. Jangan bila di meja rundingan semua ok tapi bila sampai masa PRU-15 parti dalam GRS akan bertembung sesama sendiri seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) sabah yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Cawangan UMNO Kampung Labau, Sepanggar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.

Raimie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata UMNO Sabah harus mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang berlaku di PRN-16 Sabah pada tahun lalu dan PRN-15 Melaka, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau menekankan kepentingan untuk memperkasa lagi UMNO negeri di peringkat akar umbi.

Jelasnya, ahli akar umbi sangat penting kepada UMNO bagi mengekal dan menguatkan lagi parti itu dalam menghadapi cabaran politik semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|