Taklimat khas MA63 kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak

Taklimat khas MA63 kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dari blok kerajaan kini lebih memahami misi dan visi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak selepas diberi taklimat khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Taklimat khas itu yang diadakan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, sesi taklimat itu bertujuan merungkai pelbagai persoalan berkaitan MA63 dan isu lain membabitkan rakyat di Sabah serta Sarawak.

“Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sangat interaktif dan turut membangkitkan isu serta persoalan yang bukan saja berkaitan pembangunan dan hal keselamatan, malah menyentuh kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ia menunjukkan betapa komited penggubal undang-undang di negara ini untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak serta rakyatnya, dilaksanakan seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Maximus berkata program serupa akan diadakan di Sabah untuk memberi taklimat kepada pemimpin blok kerajaan negeri yang dijadualkan ketika persidangan Bajet 2022 negeri bulan depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|