Covid-19 Sabah: Kes naik mendadak di Beaufort, Kota Marudu dan Ranau

Covid-19 Sabah: Kes naik mendadak di Beaufort, Kota Marudu dan Ranau

Kota Kinabalu: Sabah kembali merekodkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dengan sebanyak 545 kes dilaporkan hari ini, berbanding 364 kes, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kenaikan 181 kes itu didorong pertambahan kes baharu yang banyak di lapan daerah.

“Daerah terbabit ialah Beaufort yang meningkat 55 kes hari ini, diikuti Kota Marudu (+40 kes), Ranau (+29 kes), Sipitang (+17 kes), Lahad Datu (+15 kes), Kudat (+14 kes), Pitas (+12 kes) dan Tambunan (+10 kes),” katanya dalam kenyataan petang ini.

Peningkatan itu katanya menjadikan Beaufort sebagai daerah paling tinggi kes hari ini dengan sebanyak 69 kes, diikuti Kota Marudu (57), Kota Kinabalu (53) dan Ranau (47).

Bagaimanapun, kes baharu di Kota Kinabalu menunjukkan penurunan 25 kes berbanding 78 kes yang dilaporkan semalam.

Sementara itu, Masidi berkata kes berpunca daripada saringan bergejala yang sinonim dengan kes sporadik masih tinggi dengan 205 kes atau 37.61 peratus daripada jumlah kes hari ini.

Katanya, jumlah pesakit dalam kategori serius yang memerlukan rawatan di hospital juga kekal rendah dengan hanya tiga pesakit dalam Kategori 3, empat pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.

“Sejumlah 532 kes atau 97.61 peratus daripada 545 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 (44 kes) dan Kategori 2 (488 kes). JKNS masih membuat siasatan lanjut ke atas lima lagi kes,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata peralihan Sabah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam sedikit sebanyak mengakibatkan risiko jangkitan virus Covid-19 yang lebih tinggi.

Berikutan itu, beliau mengulangi gesaannya agar masyarakat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sepanjang masa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|