Pemandu teksi perlu patuhi SOP elak perkhidmatan terjejas

Pemandu teksi perlu patuhi SOP elak perkhidmatan terjejas

Sandakan: Pemandu teksi di Sabah diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin keselamatan penumpang dan memastikan mereka dapat meneruskan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, berkata dengan kelonggaran SOP Covid-19 di Sabah bermula 1 November lalu, ia dijangka meningkatkan semula permintaan terhadap perkhidmatan teksi berikutan peningkatan kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Walaupun ini satu peluang kepada pemandu teksi untuk merancakkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik tetapi mereka juga tidak boleh lupa untuk mengutamakan keselamatan penumpang dengan terus mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan.

“Semua pemandu teksi juga harus sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada seperti sentiasa menyemak status saman PDRM, memastikan lesen LPKP sentiasa aktif dan kenderaan dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung dan Upacara Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Persatuan Teksi Seluruh Sabah 2021 – 2022 di sini, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pemandu teksi di negeri ini supaya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi bagi memastikan perkhidmatan mereka terus relevan terutama dengan kewujudan perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat dapat memenuhi kehendak semasa pelanggan.

“Sebagai contohnya pada hari ini masyarakat lebih gemar menggunakan perkhidmatan e-hailing yang dianggap lebih mudah dan murah. Hanya dengan hujung jari sahaja mereka dapat memesan perkhidmatan e-hailing pada bila-bila masa berbanding perkhidmatan teksi sedia ada.

“Oleh itu, sudah tiba masanya bagi pemandu teksi untuk mengikuti perkembangan ini sama ada dengan memperbaiki perkhidmatan sedia ada atau beralih kepada perkhidmatan e -hailing bukan sahaja untuk kekal relevan tetapi juga bagi memastikan mereka tidak hilang punca pendapatan akibat kehilangan pelanggan yang beralih kepada perkhidmatan yang lebih mudah,” katanya.

Kim Hiung juga menekankan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pemandu teksi di negara ini menerusi pemberian bantuan kepada golongan ini.

“Menyedari kumpulan pemandu teksi turut terjejas akibat pandemik Covid-19, kerajaan memberikan beberapa bantuan kewangan secara one-off iaitu PERMAI dan PEMERKASA dengan perbelanjaan sebanyak RM2.8 juta kepada 3,885 pemandu teksi.

“Selain itu, Kementerian Pengangkutan turut bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan selama setahun bagi kenderaan pengangkutan awam yang tamat tempoh usia pada 2020 dan 2021. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan,” katanya.

Pada Mesyuarat Agung Persatuan Teksi Seluruh Sabah yang diadakan baru-baru ini, Hiew Su Vun mengekalkan jawatan Pengerusi selepas menang tanpa bertanding.

Yang turut hadir ialah Penolong Pengarah Kanan LPKP Sabah, RM Luqman Mohamed.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|