RDA bangunkan pekan sempadan di Serudong

RDA bangunkan pekan sempadan di Serudong

Kota Kinabalu: Sebuah pihak berkuasa pembangunan wilayah (RDA) akan ditubuhkan bagi mengurus pekan baharu sempadan di Serudong, Kalabakan yang menjadi antara empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan RDA itu yang dinamakan RDA Serudong Sabah Maju Jaya akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bulan depan.

Katanya, RDA itu yang berfungsi sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjadi pemangkin pertumbuhan di Serudong seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pekan sempadan dibangunkan mengikut perancangan.

Beliau berkata, perkara itu sejajar dengan jangkaan pembangunan besar yang bakal berlaku berikutan perancangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.

“Pekan sempadan itu akan merangkumi zon komersial dan perindustrian, perumahan serta fasiliti lain yang akan dibangunkan di sekitar Pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQS).

“Pembangunan CIQS di sempadan Malaysia – Indonesia di Borneo akan dibiayai kerajaan persekutuan seperti yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mendengar taklimat mengenai pelan pembangunan sempadan Serudong (Malaysia) – Simanggaris (Indonesia) daripada Pihak Berkuasa Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA) di Menara Kinabalu, hari ini.

Taklimat yang turut dihadiri ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) itu disampaikan Pengarah Perancangan Pekan Sempadan SEDIA, Mursidi Sapie.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Hashim Paijan.

Hajiji berkata pembangunan sempadan Sabah – Kalimantan akan menjadi antara topik perbincangan dalam pertemuan Ismail Sabri dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada lawatan sulungnya di republik itu.

Selain di Serudong, tiga lagi pintu masuk sempadan Sabah – Kalimantan yang dirancang ialah di Long Pasia, Sipitang; Pagalungan, Nabawan dan di Pulau Sebatik, Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|