Syukur… SOP kena sentiasa jaga

Syukur… SOP kena sentiasa jaga

Kota Kinabalu: Keputusan kerajaan negeri menarik balik sekatan rentas daerah disambut baik pelbagai pihak terutamanya golongan peniaga dan pekerja.

Pembukaan itu dilihat akan memberi suntikan baharu untuk mengaktifkan semula ekonomi terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta sektor pelancongan.

Bagaimanapun, disebalik kerancakkan ekonomi itu kelak, masyarakat tetap diingatkan supaya terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19 dari semasa ke semasa.

Seorang pengusaha bidang automotif, Norzam Robin, 39, berkata, rata-rata peniaga menzahirkan rasa gembira kerana dapat beroperasi seperti sediakala untuk menjana semula pendapatan yang terjejas sebelum ini.

Namun katanya, pada masa sama mereka akan tetap berwaspada dan sentiasa mengutamakan amalan prosedur operasi standard (SOP) di premis masing-masing.

“Kebenaran rentas daerah itu akan dapat merancakkan ekonomi dan sudah pasti membantu peniaga yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tetapi, semua pihak kena faham, sekarang masa untuk menjaga diri sendiri dan keluarga daripada dijangkiti. Amalan SOP perlu dititikberatkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, masyarakat diharap tidak terlalu ‘teruja’ sehingga menyebabkan penularan wabak Covid-19 ini terus melonjak tinggi.

Sementara itu, Mohd Eqwan Musli, 28, berkata, kebenaran rentas daerah ini turut memberi kelegaan kepada golongan pekerja.

Dia yang bekerja sebagai barista di ibu negeri berkata, kelembapan ekonomi akibat penutupan banyak sektor ekonomi sebelum ini sedikit sebanyak mengganggu gugat golongan ‘makan gaji’.

“Masyarakat sudah pasti bimbang kadar pengangguran meningkat dari semasa ke semasa akibat penularan penyakit berjangkit ini.

“Jadi saya amat menyokong kebenaran rentas daerah yang diluluskan kerajaan negeri Sabah ini kerana ia dapat merancakkan ekonomi,” katanya.

Namun katanya, disebalik pembukaan ini, langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit ini tidak harus di pandang sebelah mata.

Sementara itu, seorang lagi yang ditemui, Joe Jason, 40, berkata, semua pihak harus berfikiran positif disebalik masalah yang dihadapi negara.

Katanya, disamping menyumbang dalam kerancakkan ekonomi, masyarakat juga perlu memastikan penularan penyakit ini dapat ditangani dengan sebaiknya.

“Kita menyambut baik keputusan kerajaan menarik semula sekatan ini, tetapi pihak harus memainkan peranan dalam melawan penyakit Covid-19 ini,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|