Ahli Parlimen Labuan sahkan didakwa SPRM esok

Ahli Parlimen Labuan sahkan didakwa SPRM esok

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengesahkan laporan yang mengaitkan seorang wakil rakyat akan didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, esok adalah dirinya.

Laporan portal FMT menyebut, Rozman yang juga Ketua Whip Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9 pagi esok berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan SPRM.

Ahli Majlis Tertinggi WARISAN itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 kerana menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah sama ada untuk dirinya, saudara atau sekutunya.

Sementara itu, Rozman dilaporkan sebagai berkata tindakan terhadap dirinya itu adalah cubaan untuk merosakkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau mendakwa, dirinya cuba dikaitkan dengan dakwaan menyalah guna kuasa ketika menjadi antara ahli lembaga Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan sebelum ini.

“Ini bukan perkara baharu, mereka melakukan cubaan sejak awal 2020 tetapi saya tidak bimbang.

“Lagipun saya mahu melawan kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah, jadi ia bermaksud ini akan menjadi pengalaman secara langsung kepada saya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|