POIC Lahad Datu berpotensi dijadikan pusat pemprosesan rumpai laut, tuna

POIC Lahad Datu berpotensi dijadikan pusat pemprosesan rumpai laut, tuna

Lahad Datu: Kluster Industri Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu dilihat berpotensi untuk dijadikan pusat pemprosesan rumpai laut dan ikan tuna menerusi usahasama dengan pemain industri dari selatan Filipina.

Perkara itu dijelaskan delegasi perniagaan dari Tawi-Tawi, Filipina yang diketuai oleh Gabenornya, Ysmael Sali sempena lawatan mereka ke POIC Lahad Datu, di sini, hari ini.

Potensi POIC Lahad Datu itu dapat direalisasikan melalui perancangan perniagaan dua hala Sabah-Filipina melalui Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

POIC Lahad Datu dilihat dapat digunakan sebagai tempat untuk menyatukan hasil rumpai laut dan sumber laut lain termasuk ikan tuna yang diterokai pihak industri di Sabah dan Filipina bagi menghasilkan produk hiliran untuk eksport.

Pihak Tawi-Tawi turut menzahirkan minat mereka terhadap beberapa perkara lain termasuk perdagangan tukar barang atau Barter Trade.

Sementara itu, Pengerusi POIC, Datuk Yong Teck Lee, menyifatkan lawatan perniagaan dari Tawi-Tawi itu sebagai permulaan era baharu dalam hubungan antara Sabah dan Filipina Selatan.

Beliau berpendapat kedua-dua pihak dapat memberi sokongan di antara satu sama lain dalam menangani isu-isu yang melibatkan kedua-dua pihak.

“BIMP-EAGA pada awalnya berada dalam perancangan POIC Sabah sebagai sumber untuk semua jenis bahan mentah dari minyak sawit, koko dan makanan laut.

“Sehingga baru-baru ini, kami telah melancarkan idea untuk mengembangkan pusat maritim antarabangsa di POIC Lahad Datu dan lapangan terbang baharu untuk meningkatkan hubungan laut dan udara,” katanya.

Tawi-Tawi merangkumi lebih daripada 300 pulau dan 80 peratus daripada penduduknya terlibat dalam rantaian perusahaan rumpai laut menjadikannya sebagai pengeluar rumpai laut terbesar di Filipina.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Bangsamoro, Benjamin T Loong, berkata lawatan berkenaan adalah untuk melihat potensi pelaburan di POIC Lahad Datu.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya belum membuat kata putus mengenai perkara itu dan masih meninjau potensi pelaburan yang ada.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|