Suspek kes tipu jual beli baju bundle ditahan

Suspek kes tipu jual beli baju bundle ditahan

Beaufort: Tindakan seorang lelaki memperdayakan mangsa dalam jual beli baju bundle melalui laman sosial, akhirnya mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pelayan restoran ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pada April lalu suspek disyaki memperdayakan mangsa dalam urusan jual beli baju bundle melalui laman sosial Facebook yang tidak wujud.

Katanya, mangsa dikatakan membeli dua guni baju bundle dan memasukkan sejumlah wang RM3,100 ke dalam akaun bank milik suspek.

Suspek disyaki terbabit kes penipuan jual beli baju bundle melalui laman sosial ditahan polis.

“Selepas membuat pembayaran barangan berkenaan, sehingga laporan polis dibuat pada 2 Jun lalu, barangan yang dijanjikan oleh suspek belum diterima.

“Polis yang melakukan siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Inanam, Kota Kinabalu, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Yusoff Zaki menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam melakukan urus niaga atau pembelian barangan melalui laman sosial.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|