E-hailing, teksi, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan

E-hailing, teksi, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan

Kota Kinabalu: Teksi, e-hailing dan perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi tanpa perlu surat kebenaran rentas daerah daripada polis yang berkuat kuasa esok.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, kebenaran ini meliputi daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang sahaja.

“Kebenaran ini diberikan kepada pemandu e-hailing teksi yang berdaftar dengan e-hailing mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

“Waktu beroperasi bermula dari 6 pagi hingga 8 malam, setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Bagaimanapun Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, had maksimum dua penumpang adalah dibenarkan bagi tujuan perubatan atau kecemasan.

Perkembangan harian kes Covid-19 di negeri Sabah. (Infografik ihsan FB Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah)

Sementara itu, mengenai jumlah terkini Covid-19, beliau berkata, sebanyak 193 kes positif Covid-19 baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 67,900 kes.

Katanya, terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian hari ini dan dua daripadanya dilaporkan di Tawau dan satu di Sandakan.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|