Pantau laluan tikus guna dron

Pantau laluan tikus guna dron

Kota Belud: Polis Kota Belud mengambil langkah melaksanakan pemantauan udara menggunakan dron di lokasi yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Langkah ini bertujuan bagi menumpukan dan mengenal pasti laluan tikus di kawasan berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, setakat ini, pemantauan dilakukan dibeberapa lokasi terpilih.

Katanya, ia termasuk kawasan Kampung Ejuk yang bertujuan mengenal pasti laluan yang boleh dilalui sepanjang perlaksanaan PKPD.

Tinjauan menggunakan dron di lokasi PKPD Kampung Ejuk, Kota Belud.

“Hasil daripada pemantauan laluan yang dikenalpasti, polis akan mengambil tindakan penutupan jalan berkenaan bagi memastikan tiada pembolosan berlaku.

“Pemantauan udara ini juga akan dilakukan di sekitar lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah ( PKRC) Kampung Pirasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, ia berikutan terdapat aduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung ketidakpatuhan pesakit yang menjalani kuarantin di kawasan terbabit.

Katanya, mengikut aduan diterima, terdapat pergerakan pesakit yang melakukan aktiviti mendaki atau hiking di bukit berhampiran lokasi mereka dikuarantin.

“Namun hasil pemantauan udara yang dibuat mendapati tiada sebarang pergerakan di lokasi yang dinyatakan.

“Selain itu, polis turut membuat hebahan kesedaran PKPD menggunakan pembesar suara yang terpasang pada dron,” katanya.

Tinjauan menggunakan dron di lokasi PKPD Kampung Taun Gusi, Kota Belud.

Sahimi berkata, setakat ini pemantauan mendapati kadar pergerakan dan pematuhan penduduk di kawasan berkenaan adalah sangat baik. –

Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|