Kempen vaksinasi nasional giat dijalankan di Kota Marudu

Kempen vaksinasi nasional giat dijalankan di Kota Marudu

Kota Marudu: Kempen vaksinasi nasional menerusi program outreach kini giat dilaksana secara meluas terutamanya di kawasan pedalaman di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kempen yang turut diperluaskan ke kawasan Mukim Kampung Sungai Magandai, Kota Marudu itu telah berlangsung bermula semalam.

Beliau berkata, ia merupakan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Kota Marudu dengan telah disertai sekumpulan doktor, jururawat dan beberapa wakil dari badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Kesemua yang terlibat menaiki pacuan empat roda bagi memastikan masyarakat di lima buah mukim yang berada di kawasan pendalaman Sonsogon tidak tercicir dari program vaksinasi nasional berkenaan.

“Terdapat lebih daripada 700 penduduk kampung dari lapan kampung, di kawasan ini.

“Dari jumlah tersebut, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim tersebut,”katanya.

Maximus menyerahkan Kad Vaksinasi Covid-19 kepada salah seorang penduduk setelah beliau selesai menerima dos pertama pada Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai, Selasa lalu.

Maximus berkata demikian dalam pelancaran Program Vaksinasi yang berlangsung selama tiga hari itu, iaitu sebahagian daripada Program Outreach Kota Marudu yang sedang dijalankan di daerah ini.

Untuk rekos, setakat bulan Jun ini, data menunjukkan bahawa sejumlah 15,265 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di Kota Marudu.

Maximus bersembang dengan salah seorang jururawat yang terlibat dalam Program Vaksinasi di Sungai Magandai, Selasa lalu.

Daripada angka tersebut, 6,018 individu telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka, manakala 1,949 individu melengkapkan kedua-duanya dos.

Sementara itu, Maximus berkata, Program Outreach Vaksinasi Covid-19 memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan pendalaman yang mempunyai kesukaran untuk bergerak keluar dari kawasan mereka.

“Walaupun saya melihat sambutan hari ini (semalam) agak perlahan, namun memberansangkan kerana menjelang tengahari, lebih ramai yang tampil untuk divaksinasi.

“Kami berharap agar lebih ramai yang hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu itu mengatakan bahawa kempen vaksinasi yang sedang berlangsung ini bertujuan untuk mencegah penularan COVID-19, dan seterusnya dapat menamatkan pandemik ini di Malaysia.

“Walaupun vaksin ini bukanlah penawar, sekurang-kurangnya ia dapat membina antibodi kita untuk melawan virus yang membawa maut ini.

” Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu untuk melindungi orang lain.

“Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Maximus (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan berupa kerusi roda kepada Jasika Linggin, mewakili anaknya berusia enam tahun yang merupakan murid OKU, dalam perasmian Program Vaksinasi di Kampung Sungai Magandai, Selasa lalu.

Terdahulu, dalam majlis itu, Maximus turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kerusi roda dan beberapa keperluan, sumbangan dari Pejabat Parlimen Kota Marudu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek, kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang kurang upaya, Shalvendra Sius, yang diwakili oleh ibunya, Jasika Linggin.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|