Sabah FC lengkap dua dos vaksin

Sabah FC lengkap dua dos vaksin

Kota Kinabalu: Semua pemain dan pegawai Sabah Football Club (FC) melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19, di sini, hari ini.

Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, suntikan vaksin itu penting bagi pasukan bagi memastikan kesihatan serta keselamatan mereka sentiasa terjamin sekali gus bagi melancarkan perjalanan saingan Liga Malaysia musim ini.

Katanya, kesemua mereka mendapat dos pertama vaksin jenis Pfizer BioNtech pada 2 Jun lalu dan hari ini merupakan suntikan dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hotel Pacific Sutera, dekat sini.

“Vaksin ini penting untuk memastikan imuniti kelompok dapat diwujudkan untuk mengawal pandemik serta melindungi masyarakat daripada penularan pandemik COVID-19 sekali gus dapat melancarkan lagi saingan Liga Malaysia dengan kehadiran pasukan serta penyokong ke stadium,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kurniawan berkata, setiap pasukan akan berasa lebih selamat untuk meneruskan tanggungjawab beraksi di atas padang selepas menerima suntikan vaksinasi berikutan beberapa pasukan juga telah selesai mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin.

Sementara itu ketika mengulas mengenai perkembangan Sabah FC, Kurniawan berkata, mereka kini sedang menjalani latihan secara berpusat di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sejak 7 Jun lalu.

”Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya Sabah FC lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemain import baharu, Josip Ivancic yang sempat beraksi ketika bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas sebelum liga berhenti rehat dan Nazirul Naim yang dipinjamkan dari Perak FC semasa jendela perpindahan dibuka Mei lalu,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|