500 penduduk Long Pasia dijangka terima vaksin Covid-19

500 penduduk Long Pasia dijangka terima vaksin Covid-19

Kota Kinabalu: Seramai 500 penduduk Long Pasia bakal menerima vaksin dos pertama dalam Program Jiwa Murni Army Combat Medic Vaccination Initiative (ACMVI) yang bakal dijalankan pada 24 dan 25 Jun depan.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, program kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah sebahagian daripada sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, pelaksanaan Program Jiwa Murni ini bertujuan untuk membantu pihak Kerajaan negeri bagi mencapai sasaran penerima suntikan vaksin COVID-19 terutamanya penduduk di kawasan pedalaman negeri Sabah.

“Pelaksanaan program seumpama ini sejajar dengan saranan Panglima Tentera Darat dalam Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu ‘Peningkatan Hubungan TDM dengan Awam’.

“Ia juga membabitkan usahasama antara 5 Divisyen dengan Kerajaan negeri serta seluruh agensi awam yang lain demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan konvoi di perkarangan Markas Divisyen Kelima Infantri, hari ini.

Halim menyempurnakan pelepasan konvoi di perkarangan Markas Divisyen Kelima Infantri, pagi tadi.

Long Pasia terletak di kawasan pedalaman Sabah yang menempatkan kira-kira 1,000 penduduk.

Mengulas lanjut, Mohd Halim berkata, atur gerak konvoi yang membabitkan lima kenderaan pacuan empat roda itu menggunakan laluan jalan darat bermula di Jalan Lok Kawi – Papar – Beaufort – Sipitang – Long Pasia.

“Konvoi diketuai Pegawai Staf 1 Ordnans, Leftenan Kolonel Manan Husin bersama Tim Combat Medic Vaccination Team (CMVT) 5 Divisyen terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan dan lapan Paramedik dari B Kompeni, Batalion Pertama Ubat (B Komp 1 BN Ubat).

“Bekalan vaksin diterima dari Kerajaan Negeri Sabah dan dibawa ke kawasan Long Pasia menggunakan kaedah pergerakan Pesawat TUDM (EC725),” katanya.

– Deasoka



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|