Rabies, Sabah kini bersiap siaga

Rabies, Sabah kini bersiap siaga

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri kini meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani penyakit anjing gila atau Rabies.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ini susulan daripada insiden daerah Lawas, Sarawak yang mencatatkan kes itu, pada 10 Jun lalu.

Beliau berkata, Sabah sebelum ini telah membuat persediaan susulan pengisythiran penyakit Rabies yang pertama dibuat di Serian, Sarawak, pada 1 Julai 2017.

“Ini termasuklah latihan simulasi, kempen kesedaran dan vaksinasi anjing, kucing dan haiwan pembawa rabies (HPR) lain di semua pintu masuk ke Sabah.

“Sejak wabak rabies di Sarawak, Sabah juga melarang import kucing dan anjing, dan larangan itu masih berkuatkuasa.

“Pada tahun 2020, 80 peratus HPR yang mempunyai pemilik di sempadan wilayah Sabah telah berjaya divaksinasi, jauh melebihi tahap 70 peratus yang disasarkan. Selain itu, di luar kawasan sempadan, vaksin rabies ini juga boleh didapati di kllinik-klinik veterinar swasta, ”katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Untuk rekod, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) memberikan vaksin secara percuma kepada semua pemilik anjing dan kucing di Sipitang bertempat di pejabat jabatan daerah berkenaan.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan imuniti haiwan tersebut, kerana rabies dapat dicegah melalui vaksinasi yang teratur.

Sementara itu, beliau turut berkata inisiatif vaksinasi percuma akan diperluas ke daerah berdekatan seperti Tenom dan Beaufort.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|