Sabah benarkan solat Aidiladha, ibadah korban

Sabah benarkan solat Aidiladha, ibadah korban

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan solat sunat Aidiladha serta pelaksanaan ibadat korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Perkara itu disampaikan Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang memperincikan prosedur operasi standard (SOP), hari ini.

Katanya, solat sunat Aidiladha dibenarkan bagi jumlah satu pertiga daripada keluasan dewan utama solat atau 50 jemaah atau mana yang lebih rendah.

“Ia juga tertakluk bagi mereka yang melengkapkan dua dos vaksin serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Bagaimanapun, keputusan ini tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan ibadah korban, beliau berkata, ia adalah dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tujuan pelaksanaan.

“Lokasi penyembelihan yang dibenarkan adalah di rumah sembelihan, rumah penyembelihan ruminan swasta berlesen, masjid dan surau dengan kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, turut dibenarkan di kawasan-kawasan lapang seperti balai raya, dewan yang bersesuaian, tertakluk kepada kelulusan.

“Bagi permohonan di lokasi lain selain daripada masjid atau surau perlu memohon kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan lebih awal.

“Manakala bagi jumlah haiwan sembelihan di masjid atau surau haruslah tidak lebih daripada lima ekor sehari, kecuali kambing 10 ekor.

“Pengecualian bilangan haiwan ini diberikan kiranya di proses di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

“Agihan tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid atau surau. Agihan akan dibuat kepada pihak-pihak berkenaan melalui cara penghantaran sahaja ke rumah atau kediaman masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 129 kes positif Covid-19 baharu dikesan hari ini dan tujuh kes kematian turut dilaporkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|