PPM tahan lelaki bawa syabu cuba keluar dari lokasi PKPD

PPM tahan lelaki bawa syabu cuba keluar dari lokasi PKPD

Kota Kinabalu: Cubaan seorang lelaki menyelinap keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Penimbawan, Tuaran, di sini, tidak berhasil apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketika ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit turut didapati memiliki dadah jenis syabu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, ketika penugasan kawalan PKPD, pasukan bot ronda PPM mengesan seorang lelaki cuba keluar dari kawasan kampung berkenaan dengan menaiki sebuah bot.

Dadah syabu milik suspek yang dirampas.

Katanya, lelaki terbabit kemudian ditahan kerana cuba keluar dari kawasan kampung berkenaan yang dikuatkuasakan PKPD.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu paket plastik kecil lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah syabu di badan suspek.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dadah yang dianggarkan bernilai RM150 itu turut dirampas,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek turut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 atas kesalahan salah guna kebenaran keluar dari kawasan PKPD.

“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 3 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sementara itu, katanya, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat persisir pantai untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|