SUHAKAM sedia bantu Sabah tangani isu individu tanpa dokumen

SUHAKAM sedia bantu Sabah tangani isu individu tanpa dokumen

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan membantu kerajaan negeri menangani pelbagai isu hak asasi manusia di Sabah termasuk berkaitan individu tanpa dokumen dan tiada kewarganegaraan.

Pengerusinya, Tan Sri Othman Hashim, berkata pihaknya turut menyokong saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor agar kerajaan persekutuan menyegerakan usaha untuk mencari penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.

“Kita menyokong pendapat Ketua Menteri bahawa setiap orang perlukan dokumen, bukan bermaksud dokumen itu kerakyatan. Dokumen itu bagi memastikan setiap orang kita kenal dan orang hidup, sama ada dalam bentuk kad orang asing,” katanya.

Beliau mengulas antara perkara yang dibincangkan ketika kunjungan hormat SUHAKAM terhadap Ketua Menteri di Menara Kinabalu yang turut dihadiri Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph dan Pesuruhjaya SUHAKAM Sabah, Datuk Godfrey Gregory Joitol, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pejabat SUHAKAM Negeri Sabah, Jasmih Slamat dan pegawai SUHAKAM, Heflin Dino.

Othman berkata, isu individu tanpa dokumen perlu ditangani terutama yang membabitkan pekerja sektor perladangan kerana ia turut berkaitan dengan aspek ekonomi memandangkan definisi hak asasi menganggap individu yang bekerja tanpa dokumen sebagai buruh paksa.

“Mereka yang bekerja tetapi tiada dokumen secara automatik dianggap sebagai buruh paksa dan ini tidak baik dari segi ekonomi terutama dalam pasaran kelapa sawit kerana ia boleh memberi kesan kepada eksport kita,” katanya.

Beliau berkata, ketika pertemuan dengan Hajiji pihaknya turut bertukar pandangan berkaitan pelbagai isu dan aduan lain yang diterima SUHAKAM Sabah, termasuk isu tanah dan pembangunan seimbang.

Katanya, pihaknya turut diberi penerangan mengenai tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani dan menyelesaikan setiap isu berkenaan.

Jelasnya, banyak perkara positif yang dibincangkan dalam pertemuan itu dan beliau berharap kerjasama dengan kerajaan negeri dalam hal berkaitan hak asasi manusia dapat diterus dan dikukuhkan lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|