Bajet 2022 menyeluruh, sesuai dengan tahun pemulihan ekonomi – Hajiji

Bajet 2022 menyeluruh, sesuai dengan tahun pemulihan ekonomi – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyifatkan Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini sebagai belanjawan yang menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata belanjawan itu bersesuaian dengan situasi negara yang masih berdepan dengan kesan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, bajet bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera bernilai RM332.1 bilion itu adalah satu jumlah yang besar sesuai dengan jangkaan tahun depan sebagai tempoh pemulihan untuk semua sektor ekonomi yang terjejas.

“Kenaikan peruntukan kepada RM5.6 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah adalah berita baik untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap keperluan negeri ini, khususnya melalui penyediaan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan jaminan kerajaan untuk meneruskan projek penting bernilai RM3.5 bilion yang antaranya membabkitkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Cadangan pengurangan cukai dan pemberian insentif dalam pelbagai sektor yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini menjadi pelengkap kepada agenda Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Belanjawan ini juga dilihat sebagai pelengkap kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan kita amat mengalu-alukan peruntukan yang dicadangkan kepada Sabah pada tahun depan,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan penerusan subsidi untuk perkhidmatan udara di Sabah dan Sarawak yang berjumlah RM209 juta pada tahun depan.

Beliau berkata, cadangan pembukaan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pagalungan yang turut diumumkan dalam belanjawan kali ini penting dalam usaha mengukuhkan keselamatan sempadan Malaysia – Indonesia.

Kerajaan negeri, katanya turut mengalu-alukan cadangan peruntukan RM746 juta yang sebahagian besar daripadanya digunakan untuk membiayai 112 projek menaik taraf sekolah daif di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|