Penampang: Seorang lelaki warga emas rentung manakala isteri parah selepas rumah mereka di Kampung Gunsing Novunsu, di sini musnah terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang maut, Godfrey Tozuu Moligan, 90, dan isterinya yang berusia 89 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur di muka dan badan.
Mayat mangsa ditemui rentung di bilik tidur kediamannya. Gambar ihsan JBPM Sabah
Empat lagi ahli keluarga berusia 33 hingga 68 tahun yang tinggal di rumah sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zainal @ John Radsung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.16 pagi.
Anggota bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Gunsing Novunsu, Penampang. Gambar ihsan JBPM Sabah
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan lori tangki.
“Operasi turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan Lintas yang hadir bersama jentera untuk memadam kebakaran.
Kediaman mangsa yang terbakar 80 peratus di Kampung Gunsing Novunsu, Penampang. Gambar ihsan JBPM Sabah
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar lebih separuh daripada rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zainal berkata, api dapat dikawal pada jam 4.24 pagi sebelum berjaya dipadam beberapa minit selepas itu.
“Sebaik api berjaya dipadamkan, pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari sebuah bilik tidur di rumah berkenaan.
“Manakala wanita yang parah pula dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Zainal berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.56 pagi dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.
-Deasoka