Pemandu selamat, kenderaan jatuh gaung

Pemandu selamat, kenderaan jatuh gaung

Kunak: Seorang pemandu berusia 26 tahun yang tersepit selepas kenderaan dipandu terjunam ke dalam gaung terselamat dalam kejadian di Jalan Tingkayu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa lelaki yang memandu Toyota Vigo hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kunak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 malam.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan pacuan empat roda yang terbabas masuk gaung setinggi 12 meter.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS sebelum dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.49 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|