Kota Kinabalu: Sabah FC memulakan saingan Piala Malaysia 2021 dengan permainan yang baik walaupun terpaksa berkongsi satu mata ketika menentang PJ City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi.
Penolong Jurulatihnya, Burhan Ajui, berkata Sabah FC sepatutnya mengambil peluang melalui satu sepakan penalti Levy Madinda namun kurang bernasib baik menyebabkan keputusan terikat seri 1 – 1 hingga ke wisel penamat.
Bagaimanapun, katanya secara keseluruhan pihak pengurusan Sabah FC berpuas hati dengan komitmen pemain sehingga berjaya menyumbat satu gol pada separuh masa pertama permainan, malam tadi.
Skuad Sang Badak katanya tampil lebih baik dengan rentak baharu permainan hasil perancangan dan percaturan Ketua Jurulatih baharu Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Antara aksi pemain Sabah FC ketika menentang PJ City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor, malam tadi. Gambar ihsan Sabah FC
“Hanya pada separuh masa kedua kita lihat pemain mengalami sedikit keletihan dan mungkin di situlah kita mula membuat beberapa kesilapan.
“Macam Levy dia pun baru beberapa hari bersama dengan kita, baru lepas habis daripada kuarantin, jadi mungkin ada sedikit kekurangan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan menentang PJ City FC, malam tadi yang menyaksikan keputusan perlawanan berkesudahan dengan seri 1-1.
Burhan berkata, beberapa faktor lain termasuk sesi latihan yang tidak dapat dijalankan sepenuhnya disebabkan hujan di sekitar ibu negeri sejak beberapa hari lalu turut sedikit sebanyak memberi kesan kepada persiapan pasukan.
“Dalam seminggu persiapan, Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee menerapkan sistem baharu dan pemain pun cuba mengambil pendekatan yang diperkenalkan itu. Nampak malam tadi berhasil sentuhan pertama Kim Swee.
“Mungkin di situ kita melihat pemain cuba mengadaptasikan taktikal baharu menyebabkan secara keseluruhannya prestasi permainan meningkat sekali gus mereka mampu mempamerkan kualiti terbaik malam tadi,” katanya.
-Deasoka