Suami isteri ceroboh, pecahkan pintu kaca IPD Ranau

Suami isteri ceroboh, pecahkan pintu kaca IPD Ranau

Ranau: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas bertindak menceroboh masuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.17 pagi itu, pasangan yang menaiki Proton Wira itu dikatakan meluru masuk ke pekarangan IPD Ranau dengan merempuh papan tanda berhenti di pondok pengawal.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, sebaik memasuki pekarangan IPD Ranau, suspek lelaki terus memberhentikan kenderaan dihadapan lobi utama bangunan berkenaan.

Katanya, suspek keluar dari kenderaannya dan terus bertindak memecahkan pintu kaca IPD Ranau menggunakan tong sampah.

“Beberapa anggota polis yang bertugas terus bertindak menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Suspek terus dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk membantu siasatan awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati pemandu lelaki terbabit positif dadah jenis methaphetamine manakala isterinya pula bebas dadah.

Katanya, pihaknya percaya kejadian berlaku disebabkan suspek lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

“Polis turut merampas kenderaan yang dipandu suspek untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|