Hari Kebangsaan, Hari Malaysia perlu dirai bersama

Hari Kebangsaan, Hari Malaysia perlu dirai bersama

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Kebangsaan esok dan Hari Malaysia pada 16 September depan perlu diraikan bersama meskipun dalam suasana norma baharu disebabkan pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata meskipun sambutan dalam norma baharu berbeza dengan kebiasaan sebelum ini, ia tetap membawa makna yang sama.

Katanya, semangat untuk meraikan kedua-dua hari bersejarah itu perlu terus diterapkan agar ia tetap kental dalam jiwa setiap rakyat sebagai satu cara untuk mengukuhkan kecintaan terhadap negara.

“Walau apapun dugaan, ujian dan cabaran, kita perlu menerima hakikat hidup perlu diteruskan. Selagi nyawa dikandung badan, kita tiada pilihan untuk berhadapan norma baharu kehidupan.

“Masalah kesihatan berkaitan Covid-19 akan menjadi sebahagian daripada hidup. Semuanya terletak di tangan kita,” katanya pada program sambutan Hari Kebangsaan Dalam Norma Baharu anjuran Biro Penerangan BERSATU Sabah secara maya dengan kerjasama Biro Komunikasi dan Penerangan Srikandi BERSATU Sabah, di sini.

Khairul Firdaus berkata, rakyat perlu membuang budaya mengutamakan kepentingan diri, sebaliknya semua pihak perlu sama-sama untuk menyemarakkan semangat patriotik terhadap negara.

Katanya, walaupun sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan menjadi sambutan yang tenang tanpa perhimpunan atau perarakan, ia tetap penting dan perlu disambut bersama.

“Semua pihak perlu mematuhi norma baharu untuk berdepan dengan ancaman Covid-19 tetapi ia tidak boleh melunturkan semangat kita menyambut Hari Kebangsaan.

“Semangat merdeka perlu terus hidup di hati dan fikiran setiap rakyat di mana sahaja mereka berada. Kita harus terus memupuk dan memperkuat semangat itu dalam apa saja yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, semangat patriotik terhadap negara perlu ada dan terus dipupuk dalam diri setiap rakyat termasuk generasi muda melalui pelbagai cara termasuk dengan menghargai orang lain.

Jelasnya, semangat patriotisme atau perasaan cinta terhadap negara adalah antara keperluan untuk menjadi warga negara yang baik.

“Tafsiran patriotisme adalah subjektif dan ada banyak cara untuk menzahirkan sikap patriotik seperti berdiri apabila lagu kebangsaan berkumandang dan ikrar nasional dibacakan.

“Menghormati Jalur Gemilang, menghayati Rukun Negara juga adalah antara sikap patriotik yang perlu ada dalam diri setiap rakyat negara ini,” katanya.

Khairul Firdaus turut menekankan semangat patriotisme perlu dihayati tanpa mengira usia kerana ia adalah teras pembentukan dan pembinaan negara sepanjang masa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|