PGA Sabah rampas minuman keras seludup bernilai RM471,377

PGA Sabah rampas minuman keras seludup bernilai RM471,377

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas minuman keras tanpa cukai dianggarkan bernilai RM471,377 dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Tuaran Lama, Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, pasukan operasi ‘Op Kontraban’ yang daripada Task Force Perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah serta Tiger Platoon Batalion 16 PGA bertindak atas maklumat risikan melakukan pemantauan di hadapan gudang berkenaan sebelum menjalankan serbuan

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dua lelaki yang berada di lokasi kemudiannya cuba meloloskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan pasukan polis.

Bagaimanapun katanya, kecekapan pasukan operasi berjaya menahan kedua-dua individu terbabit tanpa sebarang kecederaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui minuman keras dipercayai diseludup di dalam dua lori yang berada di lokasi serbuan.

“Selain itu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM17,610 dipercayai hasil jualan minuman keras berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua barang rampasan termasuk kedua-dua suspek kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua lori yang disita dianggarkan bernilai RM471,377 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|