SPRM tahan pembantu tadbir, terima rasuah RM20,000

SPRM tahan pembantu tadbir, terima rasuah RM20,000

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu tadbir selepas disyaki menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM20,000, pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an yang memegang gred jawatan N22 itu dipercayai meminta rasuah daripada sebuah syarikat yang menguruskan kerja-kerja bot di pelabuhan Kota Kinabalu, dua tahun lalu.

Katanya, lelaki terbabit ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9 pagi tadi untuk siasatan selanjutnya.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pembantu tadbir itu akan dituduh di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah, esok.

Dalam kes berasingan, SPRM Sabah turut menahan seorang pemandu lori tempatan kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1,000 kepada polis.

Menurut sumber, wang berkenaan diberi sebagai balasan untuk melepaskan adik angkat suspek yang ditahan atas kesalahan judi sabung ayam.

“Suspek yang berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi oleh pegawai SPRM cawangan Tawau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya.

S Karunanithy berkata, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, Sabah dalam tempoh terdekat.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|