STAR Sabah puji pendirian Bung

STAR Sabah puji pendirian Bung

Kota Kinabalu: Keputusan Umno Sabah meneruskan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan lagi status autonomi mereka kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Jeffrey memuji keputusan yang dibuat Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin kerana ia turut menunjukkan bahawa Umno Sabah adalah parti yang mengutamakan rakyat Sabah.

“Kerajaan GRS adalah kerajaan yang dipilih secara demokratik di Sabah. Kami diberi mandat oleh rakyat yang memilih untuk menggulingkan kerajaan pintu belakang tahun lalu.

“Pihak pembangkang telah berusaha berkali-kali untuk mengacaubilau kerajaan ini tetapi kecewa kerana parti-parti yang membentuk GRS terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang tahu bahawa kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat.

“Oleh demikian, kami akan terus bekerja keras untuk rakyat, menunaikan janji-janji kami yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan memajukan Sabah,” katanya.

Tambah Kitingan, sebagai sebuah parti, STAR akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan menggesa anggotanya untuk kekal tenang dan menjalankan tugas seperti biasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|