SOP baru Sabah, masih tunggu pewartaan dari Pusat: Masidi

SOP baru Sabah, masih tunggu pewartaan dari Pusat: Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri telah mengemukakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu untuk negeri ini dan masih menunggu perwartaan berkenaan daripada Kerajaan Pusat.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) berkata, ia adalah merujuk kepada kenyataan media Kerajaan Negeri berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang diumumkan semalam.

Beliau berkata, SOP ini adalah tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

“Perakuan SOP ini telah diputus sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Antara anggota Jawatankuasa ini ialah Ketua-ketua Jabatan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, PDRM dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah (MKNS) yang juga telah menyemak perakuan ini.

“Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan akhbar yang berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata demikian dalam kenyataan media harian Covid-19 Sabah, sebentar tadi.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan medianya semalam mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Bagaimanapun, pada hari ini, berlaku kontroversi melibatkan isu operasi Dine-In di dalam restoran serta kedai makan yang mengelirukan memandangkan terdapat aduan ramai diminta pihak tertentu supaya tidak berbuat demikian kerana keperincian SOP belum diumumkan sepenuhnya.

https://deasoka.com/semasa/peniaga-dan-pengunjung-restoran-bingung/

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|