Kerajaan Sabah peruntukkan RM1.5 juta untuk IMPAC PKP 3.0

Kerajaan Sabah peruntukkan RM1.5 juta untuk IMPAC PKP 3.0

Kota Kinabalu:Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM1.5 juta bagi membantu pelajar Sabah yang terperangkap di asrama kampus atau sekitar kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia akibat Perindah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, pelajar Sabah yang layak akan menerima bayaran one-off RM300.00 dibawah program Bantuan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAC).


Katanya, pelajar Sabah yang tinggal di asrama atau sekitar kampus IPT Awam dan Swasta yang terkesan dalam tempoh PKP diisytiharkan oleh Kerajaan layak untuk memohon bantuan itu.

 
“Bantuan akan diluluskan berdasarkan permohonan dan pengesahan oleh institusi-institusi  berkenaan di seluruh Malaysia (Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia).
 

“Bayaran one-off  sebanyak RM300.00 seorang akan diberikan dan berdasarkan jumlah pelajar yang berada di asrama pada tempoh tersebut. Pelajar  yang tinggal di rumah sewa sekitar kampus juga termasuk dalam kategori ini”, katanya pada sidang media di Wisma Majlus Ugama Islam Sabah (MUIS), hari ini.


Beliau berkata, Bantuan IMPAC PKP 3.0 juga meliputi Maktab Perguruan, Sekolah Agama, Madrasah, Sekolah Maad Tahfiz, kolej komuniti dan seumpamanya.
 

Menurutnya, bantuan RM300 itu akan disalurkan terus kepada institut/ kolej/sekolah/maktab/madrasah untuk diagih kepada  pelajar-pelajar yang layak dan telah memohon bantuan itu.

 
Sementara itu, Mohd Arifin menambah, bagi institut atau Madrasah yang menyediakan makan minum kepada pelajar, maka bantuan tersebut boleh digunakan oleh institut atau madrasah tersebut untuk perbelanjaan makan dan minum pelajar mereka, dan ianya tidak perlu diagihkan kepada pelajar tersebut.

 
Beliau berkata, sejak bantuan IMPAC diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Hajj Noor, sehingga hari ini, sejumlah RM120,300 telah dibayar kepada pelajar yang layak dari IPT, Maahad Tahfiz/Sekolah Agama Rakyat.

Mohd Arifin (kiri) dan Setiausaha Tugas-Tugas Khas Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim menunjukkan poster IMPAC PKP 3.0.

Jelasnya lagi, sebelum ini dibawah PKP 2.0, seramai  3,839 pelajar Sabah daripada 72 IPT/Institusi seluruh Malaysia telah dibantu dan dibayar yang melibatkan sebanyak RM1,151,700.00. 


“Pelajar-pelajar Sabah yang dibantu itu dari 11 buah IPT di Sabah, 6 buah dari Sarawak, 6 dari Johor, 2 dari Negeri Sembilan, 12 dari Selangor/Kuala Lumpur, 22 Pusat Tahfiz dan SAR. Selebihnya IPT dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia”, tegasnya.


IPTA, IPT Swasta dan instutusi boleh mengemukakan permohonan dan pengesahan mengikut format yang ditetapkan kepada Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Tingkat 29, Blok A, Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, 88400 Kota Kinabalu.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Puan Wasilah di telefon 088-369 872 dan Puan Mary (088-369890 dan 088-369872) atau melayari laman sesawang (web) https: //mttk.sabah.gov.my/.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|