Satu kluster baharu direkodkan hari ini

Satu kluster baharu direkodkan hari ini

Kota Kinabalu: Negeri Sabah hari ini merekodkan satu kluster baharu melibatkan penularan komuniti di tiga daerah.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Muhibbah Manggatal-Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang itu dikesan pada 20 Jun lalu dengan jumlah kumulatif sebanyak 41 kes setakat ini.

Kluster itu dikenalpasti melibatkan jangkitan dalam komuniti Mukim Darat Kota Kinabalu dengan merekodkan penularan ke tiga buah daerah berkenaan.

“Kes indeks merupakan pemandu lelaki berusia 49 tahun di salah sebuah badan berkanun di pusat bandaraya yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Manggatal pada 20 Jun.

“Aktiviti pengesanan kontak serta saringan secara bersasar di lokaliti terbabit yang dijalankan Pasukan Kawalan JKNS kemudiannya mendapati 40 lagi kes positif termasuk enam kes baharu pada hari ini dengan menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 41 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan berkemungkinan merebak dalam komuniti kampung berkenaan dengan saringan bersasar dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hariannya di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 178 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes.

“Empat kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Tawau, satu kes di Kudat dan satu kes di Kota Belud,” katanya.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|