Sidang DUN Sabah: Tukar hakmilik tanah rizab SAFODA kepada orang kampung – Fairuz

Sidang DUN Sabah: Tukar hakmilik tanah rizab SAFODA kepada orang kampung – Fairuz

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan mencadangkan agar tanah rizab milik Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) diwartakan semula untuk diberikan kepada rakyat.

Beliau mencadangkan supaya tanah berkenaan dikeluarkan daripada senarai tanah rizab SAFODA dan diberikan pemilikan kepada penduduk kampung untuk membina kediaman, bercucuk tanam dan menternak haiwan.

“Hal ini amat perlu untuk diteliti kerana rakyat tempatan sudah lama menetap di kawasan tanah rizab lembaga berkenaan dan pernah membuat permohonan untuk memiliki tanah tersebut, namun gagal kerana ia adalah tanah rizab milik SAFODA,” ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat Belanjawan Sabah 2022 dengan tema Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera, penilaian semula dan pemberian pemilikan tanah rizab kepada rakyat mampu menjadi faktor penyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, menerusi pemberian pemilikan tanah itu, rakyat dapat bercucuk tanam dan menternak, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka melalui ekonomi sara diri.

“Saya yakin, permasalahan tanah bukan hanya timbul di kawasan saya di Pintasan, bahkan juga di kawasan lain di seluruh negeri Sabah. Semoga kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut mencadangkan supaya sebuah menara telekomunikasi dibina di Kampung Toburon, Kota Belud bagi memberikan manfaat jaringan perhubungan telekomunikasi kepada penduduk Kota Belud hingga ke Kudat dan Kota Kinabalu.

Katanya, perkara itu boleh dilaksanakan berikutan pengumuman kerajaan persekutuan baru-baru ini mengenai lima menara telekomunikasi yang akan dibina untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dan komunikasi tanpa wayar di Sabah.

“Saya yakin, jika sebuah menara ini dibina di kawasan Kota Belud, pastinya prasarana ini akan membantu penduduk untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi komunikasi dan mengubah gaya hidup mereka dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya.

Dalam hal lain, Fairuz yang juga Ketua ARMADA BERSATU Sabah turut menasihati penunggang basikal yang mengadakan aktiviti sukan itu agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengabaikan aspek keselamatan sepanjang berbasikal.

Jelasnya, aktiviti sukan berbasikal sudah menjadi sebahagian daripada norma baharu masyarakat masa kini untuk menjalani gaya hidup sihat namun aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan.

“Ini kerana masih ramai penunggang basikal yang dilihat agak kurang mengutamakan aspek keselamatan, terutamanya apabila berbasikal dalam kumpulan yang besar dan bersaing sesama sendiri di jalan raya.

“Ini mampu mengundang bahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya yang lain, kerana kadang kala, penunggang basikal tidak menggunakan pakaian sukan yang bersesuaian untuk aktiviti berbasikal, tidak memakai helmet keselamatan dan tidak memasang lampu ketika berbasikal pada waktu malam,” jelasnya.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kementerian Kerja Raya dan agensi berkaitan untuk merangka pelan jangka panjang aktiviti sukan berbasikal seperti penyediaan trek berbasikal yang sesuai di semua jalan raya di seluruh negeri.

Jelasnya, selain mampu menyelamatkan nyawa penunggang basikal, ia juga membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat melalui aktiviti riadah, dengan saluran yang betul.

“Saya percaya jika kita mempunyai keazaman dari pihak pemerintah, kita pasti mampu melaksanakan suasana yang harmoni untuk seluruh rakyat Sabah, insyaAllah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|